SEBAGAI RAJA, SULTAN, KAWAN DAN MANUSIA BIASA


Monday, January 25, 2010
KDYMM TENGKU ISKANDAR DALAM KENANGAN
KDYMM SULTAN MAHMUD ISKANDAR IBNI ISMAIL AL-KHALIDI

SEBAGAI RAJA, SULTAN, KAWAN DAN MANUSIA BIASA

1. Saya turut menziarahi jenazah KDYMM Tengku Iskandar yang saya kenal sebagai ‘ a king, a sultan and a friend.’

2. Sebagai seorang ‘king’ atau Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dari 26 April, 1984 ke 25 April, 1989 saya, selaku Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Kebangsaan mempunyai kesempatan menghadap KDYMM Tuanku untuk melaporkan atau meminta nasihat mengenai sesuatu acara sambutan. Persiapan untuk sambutan bermula lebih kurang 5 bulan sebelum 31hb Ogos setiap tahun.

3. Sayalah orang yang paling merasa gerun apabila KDYMM Tuanku ditabal menjadi Yang Di Pertuan Agung ke 8, kerana saya adalah yang paling kuat berkempen di waktu krisis perlembagaan berlaku.

4. Oleh kerana imej KDYMM Tuanku agak menakutkan maka apabila Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir memberitahu saya Yang Di Pertuan Agung menitahkan saya menghadap maka saya telah melambat-lambatkan temujanji kerana membuat persiapan fizikal untuk menghadapi kemarahan KDYMM Tuanku.

PERASAAN TAKUT BERUBAH MENJADI HORMAT

5. Bila saya berdepan dengannya sebagai Raja, KDYMM Tuanku, dengan kedua tangannya di belakang, telah berjalan ke kiri dan ke kanan di depan saya, yang sedang berdiri tegak, dan secara mengejut bertanya ‘ engkau kata aku gila ya? ‘ Saya menjawab ‘ Ku Tuanku.’ KDYMM bertanya lagi ‘kenapa engkau kata aku gila?’ Saya menjawab ‘kerana kita sedang berlawan Tuanku, patik dalam pasukan UMNO pimpinan Dr. Mahathir dan Tuanku di pihak raja-raja Melayu. Itu pasukan yang sedang bertentangan Tuanku. Patik mohon ampun jika itu melukakan hati Tuanku.’ Tuanku berdehem dan berdiri terdiam.

6. KDYMM Tuanku telah mengulangi soalan yang sama tiga kali dan saya juga menjawab dengan jawapan yang sama sebanyak tiga kali juga. Akhirnya KDYMM Tuanku telah mendekati saya dan memegang bahu saya sambil berkata, ‘kalau engkau bekerja di Istana Johor aku lantik engkau jadi panglima. You are a good team player. Awak sokong ketua awak’ Pada ketika itulah saya terkejut dan perasaan takut saya berubah menjadi hormat KDYMM Tuanku.

PERSIAPAN MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN

7. Pada satu peritiwa yang lain saya telah menghadap KDYMM Tuanku dengan satu soalan yang agak ’embarassing’. Lantaran mengidap penyakit ghout saya melihat KDYMM Tuanku, secara berterusan dan tanpa henti, meminum kopi o ais dari sebuah gelas yang besar; dan saya perhatikan juga bagaimana beliau sering menghentikan perbincangan dan meninggalkan majlis kerana terlalu banyak meminum kopi o. Maka Jawatankuasa Sambutan Hari Kebangsaan terpaksa memutuskan samada KDYMM Tuanku dapat bertahan dan tidak minum dan meninggalkan majlis sepanjang hampir 3 jam acara sambutan diadakan.

8. Bila saya menghadap dan bertanya kepada KDYMM Tuanku mengenai ‘ Tuanku’s pattern of discharging excess water, as a result of overdrinking coffee ‘o” KDYMM Tuanku menyergah ‘You are interfering with my private life.’ Memerhatikan KDYMM Tuanku agak berang, saya bernasib baik kerana, KDYMM Tuanku Sultanah Zanariah, yang ada bersama, telah mencelah ‘Dato’ Sanusi must have a reason for asking.’ KDYMM Tuanku tersenyum dan bertanya ‘Kenapa awak nak tahu?’

RAJA YANG BERTIMBANG RASA

9. Saya menjelaskan bahawa di dalam perarakan Hari Kebangsaan ada banyak pasukan berpakaian seragam. Pasukan ini akan melintasi pentas di Raja dan akan mengangkat tabik hormat. Jika KDYMM Tuanku tidak membalas tabik maka pasukan berpakaian seragam ini akan ‘mark-time’ dan berkawad di tempat sampailah tabik mereka dibalas. Apabila jawatankuasa mengetahui jangka masa yang diperlukan untuk Yang Di Pertuan Agung berangkat meninggalkan Pentas Di Raja maka, untuk jangka masa itu, dapatlah jawatankuasa mengaturkan ‘brass-band’ dari sekolah-sekolah untuk lintas di depan pentas dan bukan pasukan berpakaian seragam yang memerlukan tabik balas SPB Yang Di Pertuan Agong. Dengan cara itu bolehlah perarakan berjalan tanpa halangan. Mendengar penjelasan ini DYMM Tuanku tersenyum sambil berkata ‘Setiap 30 minit’.

10. Itulah sebabnya pada tahun pertama KDYMM Tuanku menjadi SPB YDP Agung Jawatankuasa Sambutan Hari Kebangsaan telah menganjurkan pertandingan ‘brass-band’ antara sekolah untuk mengisi masa sekitar 10 minit antara jarak 30 minit, sepanjang masa perarakan yang lebih dua jam itu.

11. Pada 31 Ogos 31 Ogos, 1984 seluruh Jawatankuasa Sambutan telah terkejut apabila SPB YDP Agong tidak tinggalkan pentas walau sekali pun kerana, mengikut KDYMM Tuanku Sultanah ‘Tuanku tidak mahu menyusahkan rakyat ………… dia puasa semalaman dan tidak minum kopi o ais.’ Saya kemudian diberitahu bahawa pegawai yang ditugaskan untuk memberitahu kepada saya mengenai tidak perlunya masa untuk SPB YDP Agong meninggalkan majlis telah tidak disampaikan kepada saya. Yang penting ialah kejadian ini menunjukkan betapa bertimbang-rasanya KDYMM Tuanku untuk tidak menyusahkan rakyat.

RAJA SEBAGAI MANUSIA BIASA

12. Satu kejadian lagi yang mengejutkan seluruh negara, termasuk yang melihat acara sambutan melalui TV, ialah apabila SPB YDP Agong, sebagai manusia biasa, telah terlupa dirinya sebagai raja, daan telah turun dari pentas, kerana keghairannya dan seronoknya melihat perbarisan motorsikal, di dalam perarakan, dan terus menahan sebuah motosikal untuk ditunggangnya buat seketika semasa perarakan sedang berjalan.

MEMPERTAHANKAN ADAT DAN ADAB

13. Sebagai seorang Raja yang sangat mementingkan adat istiadat Melayu KDYMM Tuanku tersangat prihatin terhadap adat dan adab. KDYMM Tuanku tidak pedulikan samada seseorang itu seorang pakar undang-undang, walau di peringkat antarabangsa sekalipun, jika beliau tidak pedulikan adat dan adab dan tidak sopan dalam hubungan dengannya sebagai Raja. Pendirian inilah yang telah menyebabkan peritiwa pemecatan hakim yang pernah berlaku dalam sejarah negara kita. Malah dengan peristiwa ini juga menjadi nyata bahawa KDYMM Tuanku mempunyai ingatan yang sungguh lama ke atas sesuatu peristiwa yang berlaku padanya

14. Bila saya tanya KDYMM Tuanku atas sebabnya beliau mahu menjadi Agung sedangkan Sultan Johor sebelumnya telah mengelak dari menerima jawatan ini apabila sampai gilirannya. KDYMM Tuanku telah memberitahu dengan satu ayat yang saya masih teragak-agak maksudnya sampai ke hari ini iatu ‘jika aku boleh tunggu bertahun-tahun untuk dapat jawatan kenapa orang lain tak boleh tunggu?’ Kerana kemangkatannya maka saya tidak mempunyai kesempatan untuk bertanya.

TEGAS BERTINDAK KE ATAS SESIAPA YANG AMBIL KESEMPATAN ATAS KEBAIKANNYA

15. Sebagai manusia biasa KDYMM Tuanku mempunyai kegemaran yang tidak diketahui ramai. Salah satu darinya ialah kegemarannya kepada sate yang mentah. Saya sering dipanggil ke Istana Johor di Kuala Lumpur hingga larut malam semata-mata kerana saya menjadi Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar yang bertanggung-jawab membesarkan sistem francais SATE’ RIA di bawah MARA. Selalulah saya membekalkan sate dari SATE’ RIA dengan menalipon Pengerusi MARA Holdings Sdn. Bhd. Encik Wan Hanafi Wan Daud untuk memastikan pembekalan ada walau pukul 12 malam sekalipun. SATE’ RIA tidak pernah gagal menyampaikan tempahan. Pada satu hari, kira-kira pukul 1 pagi saya mendapat telefon menyatakan KDYMM Tuanku inginkan sate tetapi sate dari SATE’ RIA sudah kehabisan. Saya pun terus ke Hotel Holiday Inn untuk mendapatkan bekalan. Malangnya sate itu telah menggangu kehazaman YDP Agong dan kira-kira pukul 5 pagi saya mendapat telefon langsung dari KDYMM Tuanku menyatakan sate’ itu bukan sate’ dari SATE’ RIA. Saya pohon maaf dan menyatakan ianya dari sebuah hotel kerana sate’ dari SATE’ RIA sudah kehabisan. KDYMM Tuanku dengan suara menyindir menjawab ‘Thank you for being honest. I can understand.’

16. Setelah mengenal KDYMM Tuanku begitu lama saya telah ambil kesempatan untuk bertanya mengenai beberapa kejadian yang membuat namanya disebut-sebut oleh orang-ramai dengan cara yang tidak menyedapkan pendengaran. KDYMM Tuanku menjawab ‘aku baik dengan semua orang, tapi jangan pula ambil kesempatan bila akau baik. Contohnya, Dato’ baik dengan saya maka semua keluarga saya juga baik dengan Dato’ tetapi janganlah ambil kesempatan atas kebaikan aku itu. Jangan ganggu keluarga aku.’ Bila saya bertanya lagi KDYMM Tuanku menjawab ‘I have no need to explain to the press, they should know me. Aku tahu bila orang tak suka kat kita buat apa pun, beri penjelasan apa pun, orang tetap tak suka ….’ Sebagai seorang yang berperanan dalam politik saya tahu dan faham maksud KDYMM Tuanku. Saya berjanji akan menulis mengenai fakta ini dan inilah saya tulis dalam blog ini.

PENGALAMAN DI PANDU OLEH KDYMM TUANKU

17. Saya adalah salah seorang yang berpeluang bersama KDYMM Tuanku sebagai penumpang dalam kereta yang di pandunya. Dalam satu lawatan saya ke Istana Johor saya telah dibawa keliling kawasan istana melihat muziumnya dan taman binatang. Di waktu melintasi jalan saya lihat KDYMM Tuanku mempunyai ‘sense of humour’ yang membahayakan. Bila sampai di lampu trafik KDYMM Tuanku telah berhenti bila lampu membolehkan berjalan, sebaik sahaja lampu merah KDYMM Tuanku pun tekan minyak dan kereta meloncor kedepan menyebabkan pemandu kereta lain bising menekan hon kerana tidak tahu ‘yang bergurau itu ialah Sultan mereka.’

18. Waktu sampai di kebun binatang KDYMM Tuanku telah tunjuk kepada saya beberapa ekor buaya miliknya yang sedang ketiduran. KDYMM Tuanku bertanya kepada saya ‘Datuk Menteri Pertanian … apa sebab buaya tu letih dan terus tidur saja.’ Saya menjawab ‘tak cukup makan Tuanku.’ ‘Apa makanan buaya yang Tok Menteri tahu.’ ‘Bangkai ayam tuanku … . yang paling murah.” Awak tak tahu … buaya ini teringin nak makan daging Menteri yang banyak cakap ….’ sambil paling tersenyum kepada saya.

GEMAR LAGU KERONCONG

19. Dalam perjalanan seterusnya, sambil memandu dengan penuh yakin, KDYMM Tuanku pun menyanyi sebuah lagu keroncong yang tidak begitu jelas senikatanya kepada saya. Saya komen ‘Tuanku suka keroncong.’ ‘Favourite aku Julie Sudiro dan Yusni Hamid …… macam mana suara aku?’ Saya menjawab ‘lebih baik Tuanku terus jadi Sultan sahaja dan jangan buat kerja lain.’ ‘Jadi tak sedaplah suara aku.’ ‘ I did not say that Tuanku.’ ‘Aku pun tahu …… aku suka kau jujur dan ikhlas ….. jangan macam Mat Bulat … dia kata aku boleh jadi recording artis … dia nak ampu aku….’ Tidak hairanlah bila saya nampak Julie Sudiro terduduk letih di atas lantai di belakang barisan tempat duduk keluarga di Raja dalam dewan bersemayam di hari pengkebumian.

20. Peristiwa terakhir yang tinggal dalam kenangan ialah di waktu saya, isteri, Dato’ Syed Hussein Al Habshee dan isterinya menjadi tetamu KDYMM Tuanku Sultan dan Tuanku Sultanah dalam majlis santapan tengah hari di Istana Johor. Kami yang hadir merasa agak gerun kerana di atas meja makan, di dalam cermin kaca, ada anak-anak buaya kecil yang masih hidup. Tetapi, kerana sedapnya hidangan dan isi cerita-cerita yang dikisahkan oleh KDYMM Tuanku kami pun terlupa kepada buaya di depan. Ini adalah pertemuan terakhir saya dengan KDYMM Tuanku.

21. KDYMM Tuanku Sultan Iskandar adalah seorang raja, sultan, kawan dan manusia ( a King, a Sultan, a friend and an ordinary human being ) yang akan kekal dalam kenangan manis saya dan isteri untuk selama-lamanya. Lebih-lebih lagi kerana kemangkatan KDYMM Tuanku kebetulan jatuh pada hari ulang tahun ke 38 resepsi perkahwinan saya di Panti Perwira Angkatan Laut, Djalan Prapatan No. 38, Djakarta pada 22 Januari, 1972. Semoga Allah s.w.t. menempatkan KDYMM Tuanku di samping hamba-bambaNYA yang terpilih.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s