Remaja dan kemandirian teknologi

Oleh Mohd. Farid bin Md. Alias

DENGAN penggunaan teknologi, manusia mampu merentasi sempadan upaya deria serta kudrat diri. Dalam kata lain, teknologi membantu manusia melaksanakan sesuatu kerja dengan lebih cekap, pantas dan berkesan.

Kebergantungan manusia terhadap teknologi dalam kehidupan seharian dilihat semakin bertambah sejajar dengan pengenalan teknologi terbaru. Baik komputer, telefon bimbit, mahupun kereta atau sebagainya merupakan antara teknologi yang tidak dapat dipisahkan dengan suasana hidup zaman moden hari ini.

Teknologi selamanya alat

Bersama teknologi juga datangnya maklumat melalui saluran media massa. Terdapat pelbagai maklumat yang kedapatan dari mana-mana sumber, yang kadang kala begitu sarat untuk ditapis, ditelan dan akhirnya dicerna.

Ada maklumat yang sahih, belum sahih dan tidak sahih. Ada yang relevan dan ada yang tidak. Semuanya memerlukan kebijaksanaan kita dalam mengurus penerimaan maklumat, menilainya secara kritis dan kemudian mengolahnya menurut pedoman akal dan wahyu Ilahi.

Obsesi terhadap teknologi kadang kala membuatkan manusia menganggap teknologi sebagai matlamat, lalu menjuruskan mereka ke arah kehidupan yang materialistik. Pembangunan teknologi menjadi agenda teras sedangkan pembangunan insani sering terpinggir.

Pemilikan teknologi dirasakan dapat membawakan perasaan lebih hebat, lebih tinggi berbanding orang lain, dan kemudiannya mencetuskan rasa ego serta rasa ingin menguasai insan lain, atau mungkin negara lain.

Namun, adakah benar penemuan dan pemilikan teknologi sebagai sesuatu yang ingin dibanggakan atau disalah gunakan untuk menindas yang lain, seperti mana yang dilakukan oleh negara yang menganggap dirinya Polis Dunia?

Justeru, teknologi perlu ditatang sebagai alat untuk mencapai sesuatu yang murni, sambil memelihara kemurnian yang sedia ada. Aspek budaya, bahasa, serta agama tidak seharusnya terhanyut akibat gelombang tsunami teknologi yang begitu deras.

Sebaliknya, aspek-aspek tersebut perlu menjadi penampan arus agar gelombang kemodenan yang melanda tidak menghanyutkan elemen tradisi yang tetap kekal relevan dalam kehidupan seharian.

Teknologi seharusnya membantu manusia mencapai sesuatu manfaat untuk dirinya, insan lain serta makhluk lain di dunia ini. Penggunaan teknologi yang mengabaikan hak orang lain atau makhluk lain tidak akan membolehkan manusia mencapai manfaat sebenar daripada teknologi tersebut.

Penggunaan teknologi untuk penerokaan hutan secara tidak terkawal umpamanya, bukan sahaja akan memusnahkan habitat semula jadi haiwan liar, tetapi juga sebenarnya merosakkan kawasan tadahan air, mengganggu struktur tanah dan sebagainya. Natijahnya, dapat kita lihat kini seperti kejadian tanah runtuh dan banjir.

Dari satu segi, teknologi tetap penting untuk dikuasai kerana bersama teknologi, kita mampu mencapai kemandirian ekonomi, politik, pertahanan, sumber asli dan sebagainya. Dengan adanya teknologi, pembangunan negara akan dapat bergerak seiring kepesatan keperluan penduduk yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Fikir teknologi fikir umat

Kecanggihan teknologi terkini bukan hanya perlu dimanfaatkan dalam konteks penggunaan produk siap sematamata. Pada masa yang sama rasa ingin tahu boleh dijana berkenaan bagaimana teknologi tersebut berfungsi serta asas ilmu sains yang digunakan.

Di samping itu, kita juga perlu berfikir tentang dari mana asal teknologi tersebut, adakah ia dibangunkan oleh umat Islam itu sendiri atau dari Barat. Tambahan lagi, adakah terdapat manamana peranan umat Islam dalam pembangunan teknologi tersebut, umpamanya penyelidikan atau pembuatan, atau mungkin tiada langsung?

Secara objektifnya, kita perlu mengakui bahawa kebanyakan teknologi yang diguna pakai hari ini datangnya dari Barat, bermula daripada proses penyelidikan, disusuli dengan pembuatan, dan kemudiannya pemasaran serta pengedaran. Dan kita sebagai umat Islam mungkin hanya banyak berperanan sebagai pengguna akhir kepada teknologi tersebut.

Melihat kepada perkara ini, kita perlu menginsafi bahawa secara keseluruhannya umat Islam masih lagi jauh ketinggalan dalam bidang sains dan teknologi berbanding umat lain. Kita masih lagi tidak mampu untuk membangunkan teknologi sendiri bertitik tolak daripada keadaan akar budaya ilmu kita sendiri yang masih belum subur bertunas.

Sedangkan saintis-saintis Islam terdahulu banyak menghasilkan penemuan cemerlang dan terawal dan seterusnya menjadi asas kepada perkembangan bidang sains dan teknologi dewasa kini.

Ibn Haitham umpamanya digelar sebagai ‘Bapa Optik Moden’ atas sumbangan beliau dalam menghasilkan penyelidikan dan penemuan cemerlang terawal dalam bidang optik. Kini ilmu yang ditemui beliau menjadi asas kepada ilmu optik masa kini serta aplikasi teknologi yang dibangunkan.

Malahan, umat Islam itu sendiri seharusnya merupakan umat yang terbaik, seperti mana maksud firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 110. Kemajuan kita, baik dalam pembangunan fizikal mahupun akhlak seharusnya menjadi tanda aras kepada umat-umat lain agar mereka mencontohi kita.

Justeru, remaja Islam hari ini perlu sedar bahawa harapan untuk memajukan umat Islam tergalas pada bahu mereka. Remaja Islam, yang masih mempunyai kudrat akal dan jasmani yang hebat, adalah diharapkan untuk terus menceburi bidang sains dan teknologi agar umat Islam kelak mampu memiliki kemandirian teknologi yang lebih jauh ke hadapan.

Apabila remaja memiliki jalur berfikir sedemikian, hal ini dapat membantu mencetuskan minat remaja untuk mendalami ilmu sains dan teknologi yang berasaskan kepada kesedaran tentang maju mundur umat Islam hari ini.

Kini negara kita sudah mampu untuk menghantar angkasawan sendiri ke ruang angkasa dengan bantuan teknologi negara rakan kongsi. Adalah diharapkan kelak kita dapat membina roket serta kapal angkasa sendiri untuk menghantar angkasawan kita meneroka alam angkasa atas kapasiti teknologi yang kita miliki sendiri.

Kesimpulan

Kemandirian teknologi yang diharapkan memerlukan upaya berfikir secara saintifik, kreatif dan inovatif. Sistem pendidikan yang menyerapkan kemahiran berfikir yang diperlukan bakal menghasilkan para saintis dan jurutera yang kemudiannya berkebolehan membangunkan teknologi menurut acuan sendiri.

Kemandirian teknologi yang berpaut kepada akar budaya, bahasa dan agama kita sendiri akan mampu mewujudkan masyarakat berteknologi yang masih utuh jati dirinya serta unik dan unggul khazanah ilmunya.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s