Perbanyakkan ekonomi rakyat

Oleh ROHAMI SHAFIE

Mohd Mizwan Omar dan anaknya bermain badminton di hadapan kawasan rumah kedai di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Mereka antara penduduk yang mengharapkan perubahan di kawasan tersebut sejajar dengan pembangunan di sekeliling.

 

MINGGU lepas, terdapat empat perkara yang telah diumumkan oleh kerajaan sebagai strategi untuk mempertingkatkan taraf ekonomi rakyat. Pertama, pengumuman kenaikan gaji dan imbuhan tetap khidmat polis (ITKP) yang mana seramai 98,747 anggota polis akan menerima bayaran penyelarasan gaji dan imbuhan tetap antara RM1,500 sehingga RM6,000.

Pengumuman ini bakal memberi perangsang kepada anggota polis agar bekerja lebih kuat lagi dengan penuh dedikasi dan berintegriti dalam memastikan keselamatan rakyat.

Pengumuman kedua pula melibatkan pemberian insentif berupa wang tunai sebanyak RM2,000 secara tetap setiap bulan dan sepanjang hayat kepada johan qari dan qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa. Pengiktirafan ini sedikit sebanyak membantu mereka dalam menampung perbelanjaan dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Insentif ini juga amatlah bertepatan bagi menghargai jasa mereka yang sangat besar sama sekali dalam mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Ketiga, perancangan kerajaan untuk membangunkan semula Kampung Baru tanpa menyebabkan penduduknya berpindah dengan mengadakan perbincangan dengan mereka seterusnya memperolehi persetujuan penduduk Kampung Baru.

Paling menarik, pembangunan semula Kampung Baru bakal dikelolakan oleh badan amanah kerajaan tanpa penyertaan swasta. Berita baik ini bakal mengakhiri segala ketidaktentuan mengenai prospek kemajuan Kampung Baru sedangkan umum mengetahui kawasan sekitarnya amat pesat dibangunkan berbanding dengannya.

Kampung Baru sewajarnya membangun bersama-sama dengan kepesatan Kuala Lumpur. Pengumuman ini memberi “durian runtuh” kepada penduduknya dalam menikmati kepesatan pembangunan Kuala Lumpur tanpa memperjudikan hak pegangan tanah di kawasan yang dari dahulu lagi amat diminati dan ingin dikuasai oleh ramai pihak.

Sewajarnya, konsep yang bakal diperkenalkan ini benar-benar memberi kebaikan kepada penduduknya dan pada masa yang sama dapat mempertahankan salah satu khazanah sejarah Kuala Lumpur yang tidak ternilai dengan wang ringgit.

Pengumuman keempat melibatkan usaha kerajaan untuk menubuhkan Pusat Komuniti Pekerjaan (PKP) di seluruh negara. Melalui penubuhan PKP, sebanyak 100,000 peluang pekerjaan bakal diwujudkan pada tahun ini.

PKP berperanan membantu orang ramai mencari pekerjaan di samping memberi khidmat nasihat kepada orang ramai.

Dalam suasana ekonomi yang masih tidak menentu dengan mengambil contoh bursa saham Amerika Syarikat (AS), Wall Street yang mengalami kerugian paling teruk dalam tempoh sembilan bulan serta berita pembuangan para pekerja AS secara besar-besaran, maka pengumuman kerajaan ini serba sedikit membantu dan memberi kelegaan kepada rakyat yang sedang mencari pekerjaan yang lebih baik.

Keempat-empat pengumuman ini hanyalah sebahagian kecil daripada usaha-usaha kerajaan untuk mempertingkatkan ekonomi rakyat. Kerajaan sewajarnya mempertingkatkan lagi usaha-usaha untuk memastikan kesejahteraan ekonomi rakyat secara menyeluruh.

Usaha-usaha ini tidak seharusnya disempitkan kepada satu-satu golongan sahaja tetapi perlu diperluaskan lagi ke atas semua golongan rakyat melibatkan semua negeri di Malaysia.

Usaha-usaha ini mestilah secara menyeluruh terutamanya ia patut disasarkan kepada golongan yang memerlukan. Salah satu perkara terpenting yang patut diambil kira ialah memastikan golongan sasaran benar-benar memperolehi manfaat daripada usaha-usaha yang akan dan sedang dijalankan.

Rakyat tidak mahu usaha-usaha yang dijalankan tidak sampai kepada mereka hanya kerana disebabkan masalah-masalah biasa yang sering kali diutarakan oleh mereka seperti kerenah birokrasi.

Di sinilah peranan pemimpin setiap peringkat agar usaha-usaha yang dijalankan digerakkan secara lebih cekap dan berkesan. Satu perkara yang amat merugikan jika segala usaha untuk mempertingkatkan ekonomi rakyat hanya sekadar nampak amat menarik di atas kertas tetapi tidak berjaya dijalankan sepenuhnya hanya kerana kegagalan pelaksanaannya.

Jadi, tidak kiralah sama ada usaha-usaha yang sedang dan bakal dijalankan itu melibatkan program pembangunan ekonomi yang kecil ataupun besar, tuntutan kerjasama di semua peringkat melibatkan semua pihak merupakan aspek terpenting untuk menjayakan agenda ekonomi rakyat.

Jika ini dapat dilakukan pada tahap terbaik, manfaatnya bakal dirasai oleh rakyat yang sememangnya sentiasa mengharapkan nasib mereka terbela pada setiap masa.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s