Mengimbau sejarah tradisi hamam

Oleh:DR. SYED ALI TAWFIK AL-ATTAS

Kesan-kesan arkeologi hari ini menunjukkan kewujudan tradisi hamam (hammam atau spa) seawal zaman Bani Umayyah di bandar- bandar Fustat (Mesir) dan Basrah (Iraq). Tradisi ini berterusan sehingga ke hari ini memandangkan kepada kepentingannya.

Kegunaan hamam untuk tujuan mandi hadas menjelaskan kenapa tradisi ini mempunyai nilai keagamaan dan dianggap antara kemudahan asas yang terpenting dalam bandar raya Islam, sehingga akhirnya disediakan berdekatan dengan masjid. Pada masa yang sama wujud satu bentuk kehidupan manusia yang tinggal di persekitarannya. Sememangnya tradisi hamam banyak membantu masyarakat mencapai kebaikan jasmani dan akali.

Masyarakat dahulu mengunjungi hamam untuk berehat, membersihkan diri, dan memenuhi tuntutan agama. Hamam yang banyak dibina di setiap bandar dan kota, memberikan pendapatan yang agak lumayan kepada pihak yang memiliki dan mengendalikannya. Kemasyhuran hamam menyebabkannya dibina di pekarangan istana dan rumah-rumah bandar yang besar.

Sejajar dengan perkembangan agama Islam, demikian jugalah berkembang tradisi hamam dan ini menjelaskan kewujudannya sehingga kini di Sham (Syria, Lubnan, Jordan dan Palestin), Iran, Anatolia, Balkan, seluruh Afrika Utara dari Mesir hingga ke Maghribi. Sebelum bangsa Arab dikalahkan dan dihalau keluar, wujud hamam di Andalusia dan utara Sungai Danube. Menurut data yang ditemui dalam sumber-sumber awal yang merujuk kepada Bani Umayyah, Abbasiyyah, dan Uthmaniyyah, terdapat hamam dengan jumlah yang banyak di kota-kota utama dunia Islam. Sebagai contoh, semasa pemerintahan Abbasiyyah, terdapat lebih dari 110 hamam di kota Damsyik, 195 di Aleppo, dan lebih dari 300 di kota Qurtubah (Andalusia). Semasa pemerintahan Uthmaniyyah terdapat lebih 150 hamam di Istanbul, manakala lebih 100 didapati di kota Fez (Maghribi).

Cara bagaimana hamam beroperasi adalah lebih kurang sama sahaja di seluruh dunia Islam. Sebaik tiba, pelanggan di arahkan ke bilik persalinan (adopyterium), di mana mereka memakai kain tuala. Para pelanggan akan beransur-ansur membiasakan diri dengan suasana hamam yang menjadi semakin hangat dan lembab sebaik sahaja mereka bergerak ke arah pusat bangunan, bilik peluh. Seketika sahaja di situ cukup untuk menghasilkan peluh yang banyak. Para pelanggan kemudiannya diserahkan kepada kakitangan terlatih, lelaki untuk pelanggan lelaki dan perempuan untuk kakitangan perempuan. Mereka akan membersihkan para pelanggan dengan sabun berbuih, menggosok seluruh badan, mengurut, membuang bulu yang tidak dikehendaki dan mencukur. Seterusnya mereka akan dibilas sama ada dengan air suam yang dijirus ke atas kepala ataupun dengan merendamkan diri di dalam air suam atau panas. Akhir sekali, para pelanggan diberikan masa untuk berehat seketika di bilik khas bertujuan mengembalikan tenaga setelah melalui rawatan yang memenatkan itu.

Seperti juga thermaes orang-orang Rom, hamam juga menjadi tempat pertemuan masyarakat. Abu Sirr, seorang sejarawan awal bangsa Arab dilaporkan berkata: “Bandar anda hanya sempurna jika ia mempunyai hamam.” Bagi menggalakkan orang ramai berkunjung, bayaran masuk ke hamam dipastikan tidak membebankan, dengan itu setiap orang tidak kira kedudukan dapat menikmatinya. Seorang khalifah yang diceritakan kisahnya dalam Hikayat Seribu Satu Malam berkata: “Beta serahkan kepada pengunjung tempat mandian untuk membayar mengikut kemampuannya.” Bagi memastikan kejujuran pemilik dan kakitangan hamam, kadangkala mereka dikecualikan membayar cukai, sebagai satu keistimewaan.

Tarikan

Sepanjang sejarah kaum Muslimin, hamam adalah antara tempat-tempat yang dibuka pada setiap orang dari awal pagi hingga ke lewat malam atau lebih lewat lagi. Antara tarikan yang disediakan oleh hamam ialah khidmat penggunting rambut. Dia akan mencukur muka pelanggan, menggunting rambut, mengurut dan membersihkan badan mereka. Oleh kerana tukang gunting sentiasa berdekatan dengan pelanggan, dia tidak dibenarkan memakan bawang putih atau sebarang makanan yang menyebabkan nafas berbau. Salah satu tugas tukang gunting ialah menyental tapak kaki pengunjung hamam bagi menghapuskan kematu. Adalah dipercayai bahawa kaki yang bebas kematu bukan sahaja tidak berbau busuk tetapi juga mengawal sakit kepala. Juga dipercayai bahawa apabila seseorang itu berdiri sesudah mandi, keletihan dan unsur-unsur yang tidak dikehendaki akan mengalir turun dari tubuhnya dan keluar melalui kaki. Tukang-

tukang gunting, yang selalunya menjadi orang pertama mendapat berita dan cerita daripada para pengembara, menjadi tumpuan orang bagi mendapatkan perkhabaran dan bisik-bisik.

Hamam juga merupakan pusat kecantikan pada zaman itu. Di situ ditawarkan rawatan muka, rambut dan badan menggunakan tumbuh-tumbuhan dan minyak. Dengan itu ia merupakan tempat di mana jiwa dan raga direhatkan dan disegarkan. Sarung tangan kasar yang diperbuat dari kapas, sutera dan bulu kambing digunakan untuk menggosok tubuh yang berpeluh, melicinkan kulit, dan mengeluarkan bahan-bahan kotor dari tubuh menggunakan sabun. Hidangan istimewa juga disediakan di mana makanan yang terbaik dihidangkan.

Memakan buah, meminum jus dan air galian adalah tradisi hamam. Terdapat juga pesta-pesta yang disertai penyanyi dan para penari wanita yang menari mengikut rentak muzik. Tradisi ini diamalkan di hamam sebagai satu unsur kehidupan masyarakat. Hamam juga menjadi bahan untuk wayang, lagu, novel, dan kata-kata bistari di sebahagian dunia Islam. Apabila seorang wanita jelita menarik perhatian orang ramai akan berkata, “semoga Tuhan melindungi kita dari mata durjana”. Di kebanyakan jajahan takluk kerajaan Uthmaniyyah seperti Anatolia, Balkan, Asia Tengah dan Iran, sampai sekarang masih wujud kepercayaan bahawa manik-manik istimewa berwarna biru dan putih dapat menjauhkan mata durjana, atau menghalang sumpahan jahat. Manik-manik ini biasanya dibuat dengan tangan menggunakan kaca yang ditiup.

Terdapat peralatan berbeza untuk kegunaan lelaki dan wanita, semua itu dijaga dengan amat teliti, membayangkan kekayaan tradisi hamam. Mangkuk istimewa yang digunakan di hamam direka bentuk dengan saiz yang pelbagai untuk lelaki dan wanita. Mangkuk-mangkuk ini yang digunakan untuk menuang air dari besen marmar biasanya diperbuat dari tembaga, perak atau suasa, dan dihiasi dengan ukiran yang halus dan indah.

Tradisi hamam sememangnya telah menjadi sebahagian cara hidup masyarakat bandar, hinggakan golongan kaya pun, yang biasanya memiliki hamam persendirian, turut mengunjungi hamam awam. Orang ramai berkunjung ke hamam bagi menayangkan kebersihan mereka kepada orang lain. Walaupun hamam biasanya dibina di bawah naungan masjid atau kerajaan tertentu, terdapat juga hamam yang dibina oleh orang-orang kaya. Membina hamam dianggap pekerjaan yang disukai Allah dan juga masyarakat; natijahnya, golongan kaya cenderung menurut nasihat Yusuf Abdul Hadi, seorang penulis awal bangsa Arab, yang berkata: “Sesiapa yang melakukan dosa patut membina hamam (sebagai penebusnya)”.

Hamam diwujudkan untuk kegunaan setiap lapisan masyarakat. Hari-hari tertentu dikhaskan untuk kaum wanita sahaja, yang biasanya mengadakan keraian-keraian di situ menurut adat resam mereka. Sebagai contoh, “upacara mandi pengantin” diadakan sehari sebelum persandingan; “upacara mandi genap 40 hari” diadakan apabila seorang bayi berusia 40 hari; “upacara mandi waris” diadakan 20 hari selepas kematian kaum keluarga; “upacara mandi nazar” diadakan untuk seseorang yang hajatnya ditunaikan; “upacara mandi alu-aluan” diadakan apabila seseorang ingin memperkenalkan tetamunya kepada kaum keluarganya; dan “upacara mandi perayaan” diadakan sehari sebelum hari-hari perayaan keagamaan.

Kadangkala pemilik hamam mendermakan hasil kutipannya kepada sekolah, masjid ataupun untuk pembinaan hamam yang lain. Apabila sebuah hamam baru dibuka, perisytiharan akan dibuat dan untuk tiga hari pertama tiada bayaran dikenakan.

Ketertiban dan kebersihan amat penting kepada hamam, justeru amalan-amalan tertentu yang dikuatkuasakan dengan undang-undang telah diwujudkan. Pejabat Muhtasib, yang merupakan ketua polis, peronda pasar, dan pemantau akhlak masyarakat sepanjang sejarah kaum Muslimin, turut memiliki kuasa ke atas soal-soal ketertiban dan kebersihan hamam, di samping memantau tingkahlaku pengunjung dan pekerjanya. Muhtasib ditugaskan memastikan sentiasa dibersihkan. Ini bererti permukaan batunya hendaklah disental bagi membuang kotoran dan kesan-kesan sabun yang licin. Muhtasib juga memeriksa kualiti air yang digunakan.

Selain membersihkan hamam, penjaga hamam akan membakar kemenyan dua kali sehari bagi menyucikan udara. Dengan demikian hamam itu akan bersedia sepenuhnya untuk menerima pelanggan sebelum sembahyang subuh.

Di hamam, tukang-tukang urut akan melumurkan tangan mereka dengan kulit limau bagi mengeraskannya di samping membangkitkan bau wangi. Para petugas akan memastikan kekacang tidak dimakan di hamam, pesakit kusta tidak dibenarkan masuk dan sesiapa yang mendedahkan kemaluannya dihalau keluar. Pengalaman di hamam bukan sahaja menyeronokkan, bahkan ramai yang percaya bahawa ia mendatangkan nasib yang baik. Pepatah lama mengatakan: “Sesiapa yang mengunjungi hamam 40 kali Rabu berturut-turut akan berjaya dalam sebarang usaha.”

Gelap

Bagi membangkitkan suasana ketakwaan semasa mandi di hamam, sesetengah orang mencadangkan para pengguna hamam membayangkan api neraka semasa mandi. Dilingkungi kegelapan dan diselimuti kepanasan, mandi di hamam adalah dikatakan bayangan neraka, dan tidak seharusnya sentiasa dibayangkan sebagai nikmat syurgawi.

Bagi menggambarkan perlagaan syurga-

neraka di hamam, dinukilkan di sini suatu kisah dari Hikayat Seribu Satu Malam. Pada malam ke-132, suatu perbualan berlangsung antara menteri, pembantu hamam dan dua anaknya.

Kata menteri kepada pembantu: “Sesungguhnya tempat mandian ini adalah syurga dunia.” “Semoga Allah mengurniakan tuan syurga itu, juga kesihatan kepada anak-anak tuan dan memelihara mereka dari pandangan durjana! Ingatkah tuan apa yang pernah dikata orang dalam memuji tempat mandian?”, jawab si pembantu. Pada masa ini anak pertama si pembantu berkata, “saya akan bacakan pada tuan dua rangkap kata”, seterusnya membaca rangkap-rangkap berikut: “Kehidupan di mandian adalah kenikmatan hidup seorang manusia, malangnya masa terlalu suntuk untuk berada di sana. Ia syurga yang menyukarkan untuk didiami; neraka yang riang dengan kedatangan air pasang.” Apabila anak kedua si pembantu mendengar apa yang dibaca itu dia berkata “Aku juga ingat dua rangkap yang memuji tempat mandian,” dan terus membaca, “sebuah rumah di mana bunga-bungaan dari batu granit tumbuh, kelihatan paling sempurna apabila hangat dengan cinta yang hidup. Kamu sangka ia neraka, akan tetapi hakikatnya di sini ia adalah syurga; dan sesetengah benda seperti mentari dan bulan kelihatan di dalamnya.”

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s