Kenyataan diri dalam puisi Ibrahim

Kenyataan diri dalam puisi Ibrahim

Kehadapanmu ya…Tuhan
surat ini kutujukan,
alamat poskodnya di hati
stem posnya sehati
posmennya sanubari
surat itu, ku biarkan sahaja di situ
sesungguhnya engkau maha tahu…

DEMIKIAN sebahagian daripada puisi Surat Kepada Tuhan yang dimuatkan dalam kumpulan puisi terbaru penyair Dr. Ibrahim Ghaffar – naskhah yang turut diterjemahkan ke bahasa Mandarin oleh Dr. Chew Fong Peng.Kumpulan puisi Kembali Dari Dalam Diri tersebut menghimpunkan karya-karya beliau sejak Mei 1999 hingga September 2005 mengangkat pelbagai tema termasuk sejarah, kisah perjalanan, politik, persoalan peribadi dan rohaniah.

Sebagai penyair yang cukup lama mengembara dalam dunia kreatif dan bergelumang dalam wacana kata, puisi-puisinya tetap segar, hidup dan penuh makna.

Dalam sesetengah puisinya itu, ada unsur kebimbangan tentang masa depan dunia yang penuh dengan peperangan, kepasrahan kepada yang Maha Esa dan pandangan-pandangan peribadi terhadap politik antarabangsa serta dalam negeri.

Namun, seringkali puisi-puisinya disampaikan secara bersarung dalam metafora yang puitis. Keadaan tersebut mungkin berkaitan erat dengan latar belakang pendidikan dan mungkin hakikat dunia kepenyairan Melayu itu sendiri -bersilat di dalam kata.

Di sebalik metafora itulah beliau mengkritik, mengherdik dan berlagu tentang pelbagai isu yang berada di sekitar kehidupannya seharian yang dicerna menjadi bait-bait puisi.

Sebagai penulis dan penyair, Ibrahim kreatif mengolah sesuatu isu. Beliau juga begitu rajin mentelaah sejarah bangsa untuk membina masa hadapan.

Sesungguhnya beliau hanyalah orang kecil yang tidak mungkin membina peradaban bangsa ini secara bersendirian. Bagaimanapun, lontaran kata dalam puisi-puisinya mampu mengajak khalayak menuju sebuah kesatuan.

Mungkin pendapat sejarawan R.G Collingwood bahawa sejarah hanya milik orang besar (berpangkat) tidak selamanya benar. Sejarah juga milik golongan masyarakat biasa.

Pencernaan sejarah yang baik dalam puisi-puisinya seperti Warkah Hang Nadim Kepada Sri Maharaja (Parameswara), Klang; Sejarah Merentasi Alaf dan Seketika Aku Ketemu Hang Tuah cukup memukau.

Sejarah dilihat sebagai sebuah detik yang begitu bermakna dalam pembinaan sesebuah peradaban, bangsa dan masa depan sesebuah negara. Oleh itu, muncul rasa kecintaan terhadap sejarah yang mendalam dalam puisi-puisinya.

Tanpa disedari, puisi-puisinya memasuki gerbang falsafah Aguste Comte, Savoir Puor Prevoir (mempelajari masa lalu, melihat kini untuk menentukan masa depan) terlihat dengan ketara dalam karya-karyanya).

Di sisi lain, puisi-puisinya turut menyuarakan rasa kemanusiaan yang mendalam melalui kritikan dan bantahan terhadap kekejaman kuasa-kuasa dunia yang menindas negara-negara kecil.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s