e-syariah dan HRMIS dikomersialkan

Oleh LAUPA JUNUS

Dua aplikasi perdana kerajaan elektronik, iaitu Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) dan e-Syariah semalam mencatat sejarah berikut persetujuan dua syarikat mengkomersialkan produk tersebut.

Dua syarikat terbabit iaitu MRCB Multimedia Consortium Sdn. Bhd. (MMCSB) dan Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS) masing-masing diberi lesen oleh kerajaan mengkomersialkan HRMIS dan e-syariah menerusi perjanjian pelesenan harta intelek (IP) yang dimeterai semalam.

HRMIS merupakan sistem bersepadu, dimudah cara oleh teknologi yang menggabungkan amalan terbaik pengurusan sumber manusia global.

Sistem tersebut telah pun digunakan oleh agensi kerajaan antaranya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Unit Pengurusan Maklumat Ketua Eksekutif (SMPKE), Jabatan Perdana Menteri, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Jabatan Veterinar dan Jabatan Pengairan dan Saliran, Kementerian Kesihatan.

Agensi lain termasuk Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Mara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pejabat Ketua Menteri Sarawak.

Menerusi sistem tersebut, pengurus sumber manusia menggunakannya untuk menganalisis, merancang, dan mengenal pasti peluang-peluang penambahbaikan sumber manusia dengan lebih mudah dan cepat dengan adanya kemudahan masa sebenar dan dalam talian.

e-syariah merupakan projek utama dikendalikan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Ia merupakan satu sistem pengurusan kes bersepadu yang mengintegrasikan kes-kes Mahkamah Syariah.

Rangkaian elektronik e-syariah itu akan menghubungkan Mahkamah Syariah dengan JKSM serta agensi yang berkaitan diwujudkan bagi tujuan penyelarasan dan perkongsian maklumat.

Kemudahan tersebut kini telah dipasang di 106 buah Mahkamah Syariah yang terletak di 102 lokasi di seluruh negara secara berperingkat dari 2002 hingga 2005.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) , Datuk Abdul Manan Alang Endut, kementeriannya telah diberi tanggungjawab oleh kerajaan untuk mengkomersialkan IP kerajaan menerusi kerjasama dengan swasta.

“Fasa pertama pengkomersialan aplikasi perdana kerajaan elektronik ini melibatkan HRMIS dan e-syariah sebagai percubaan dan jika berjaya, ia akan membuka lebih banyak peluang kepada aplikasi lain,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian selepas majlis menandatangani perjanjian pelesenan pengkomersialan IP aplikasi perdana kerajaan elektronik di Putrajaya, semalam.

Pada majlis tersebut, beliau mewakili kerajaan manakala SAINS di wakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Teo Tien Hiong manakala MMCSB diwakili oleh Ketua Pegawai Operasinya, Abdul Rahman Zakaria.

Menurut Abdul Manan, kerajaan membelanjakan lebih RM3 bilion dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) dan RMK-9 bagi membiayai aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam pelbagai bidang untuk meningkatkan pengetahuan rakyat dalam bidang sains dan teknologi.

MOSTI katanya, menerusi Bahagian Inovasi dan Pengkomersialan berperanan menjana ekonomi melalui pembangunan modal insan dan IP untuk menambah nilai sumber kekayaan negara.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s