Teater Muzikal Ibu Zain menjengah IB

KETIKA nama-nama besar dalam kebangkitan nasionalisme Melayu diperkatakan, ada nama seakan-akan tenggelam. Mungkin tidak diketahui sepenuhnya oleh generasi baru seperti mana Datuk Onn Jaafar, Tuanku Abdul Rahman dan lain-lain.

Nama Ibu Zain (Tan Sri Zainun Munshi Sulaiman) mungkin agak `terpinggir’ walaupun Allahyarham sebenarnya memainkan peranan yang cukup besar dalam memperjuangkan kemerdekaan negara tercinta.

Mungkin pandangan bahawa perjuangan nasionalis kaum wanita sejak dulu lagi hanya tercatat dalam `kertas’. Tidak banyak perihal perjuangan mereka yang diserlahkan dalam bentuk yang berbeza selain catatan.

Perjuangan mereka seolah-olah mati bersama mereka. Ia hanya untuk dijadikan kajian, yang akhirnya juga akan ditempatkan di dalam `kertas’ juga.

Senario ini berbeza dengan dengan perjuangan tokoh kaum lelaki yang mana mereka mendapat tempat istimewa termasuk di pentas teater.

Perjuangan Dato’ Onn, Tuanku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambathan contohnya telah pun didekatkan kepada masyarakat moden hari ini melalui persembahan teater.

Nasib ini tidak menyebelahi kaum wanita lain yang seangkatan dengan Ibu Zain seperti Puteh Maria dan Datin Paduka Fatimah Abdul Majid. Ketokohan dan jerih perjuangan beliau masih belum mendapat tempat dalam bentuk visual sama ada di layar perak mahupun di pentas teater.

Mereka adalah pejuang awal sezaman Datuk Onn Onn yang sama-sama menentang Malayan Union pada 1946 melalui Kaum Ibu (kini dikenali sebagai Pergerakan Wanita UMNO).

Dalam senario politik hari ini, menarik untuk mengutip pengalaman yang dilalui oleh Ibu Zain ketika bersama UMNO. Tokoh Guru Suluh Budiman 1980 ini pernah nyaris mati apabila kereta api yang ditumpanginya dari Johor Bahru ke Tanjung Malim diserang hendap komunis ketika di Labis.

Tujuan perjalanan adalah untuk membincangkan tunjuk perasaan pelajar-pelajar Maktab Perguruan Tanjung Malim. Ibu Zain tertembak di paha dan terlantar di hospital selama 44 hari.

Ketika itu jugalah berlakunya rapat raksasa di Bukit Timbalan Johor pada 15 Julai l950 yang membantah peletakan jawatan Datuk Onn sebagai Yang Di Pertua UMNO. Ungku Abdullah Omar yang menganjurkan perhimpunan meminta Ibu Zain berucap supaya Datuk Onn menimbangkan keputusannya.

Ibu Zain yang belum sembuh terkejut melihat orang ramai memakai lencana UMNO terbalik dan bendera dikibarkan juga terbalik. Sepanduk menyebut `Datuk Onn Berhenti – UMNO mati’.

Ibu Zain mempersoalkan adakah UMNO berjuang untuk menyanjung tokohnya? Apakah tokoh boleh menyebabkan putus asa dan lemah semangat? UMNO berjuang untuk menebus kembali kemerdekaan bukan kerana penganjur atau pemimpin tetapi kerana tanah air.

Ibu Zain bertanya; “Jika Datuk Onn dipanggil Allah ke hadratNya mahukah tuan puan mengikutnya? Mahukah tuan puan ditanam bersama-samanya di dalam tanah? Kerana rapat itu, Datuk Onn telah menangguhkah peletakan jawatannya buat seketika.

Menyedari bahawa perjuangan yang tidak mengenal erti penat dan ketakutan ini wajar diketengahkan dalam bentuk yang lebih dekat kepada masyarakat, satu pementasan berjudul Muzikal Ibu Zain akan dipentaskan dari 12 hingga 18 Ogos ini di Panggung Sari, Istana Budaya, IB Kuala Lumpur.

Ia dianjurkan oleh Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM) dan Istana Budaya serta CTRA Production. Naskhah tersebut ditulis dan dipentaskan dengan tujuan untuk mengetengahkan jasa dan budi serta perjuangan tokoh wanita yang bernama Ibu Zain supaya perjuangan tersebut menjadi pembakar semangat kepada generasi hari ini.

Sepanjang sejarah perjuangannya, Ibu Zain adalah seorang guru dan nasionalis serta politikus yang hebat. Jasa dan perjuangan Allahyarham amat penting diketahui oleh generasi hari ini supaya mereka memahami erti negara bangsa dan kemerdekaan yang sebenarnya.

Produksi pementasan yang diselaraskan dengan sambutan bulan kemerdekaan bagi tahun ini sebenarnya telah memulakan proses penyelidikan sejak akhir tahun lalu.

Ini kerana mementaskan sebuah teater berbentuk `biografi’ bukanlah kerja yang mudah apatah lagi ia adalah berdasarkan fakta benar.

Justeru, kerja-kerja penyelidikan dan penghasilan skrip juga harus dilakukan oleh orang yang arif mengenainya. Maka, skrip Muzikal Ibu Zain telah dihasilkan sepenuhnya oleh Rosminah Mohd. Tahir yang juga bertindak sebagai pengarah.

Menurut Siti Rohayah Atan sebagai penerbit teater tersebut, selain kajian dan penyelidikan yang dilakukan di Arkib Negara, Filem Negara, ia juga dilakukan dibeberapa tempat penting seperti di Negeri Melaka (Tengkera, Jasin dan Nyalas). Begitu juga di Johor.

“Muzikal Ibu Zain sebuah produksi yang menceritakan tentang perjuangan menuntut kemerdekaan yang penuh dengan air mata. Bagaimanapun, ia tidak dapat lari daripada mengaitkannya dengan UMNO.

“Justeru, ia sebuah kerja seni yang harus dilihat dalam konteks yang lebih besar iaitu peristiwa sejarah tanpa mengira fahaman politik. Lebih membawa makna sekiranya ia ditonton oleh golongan belia dan generasi muda,” katanya.

Sama ada sedar atau tidak, Ibu Zain tokoh gemilang Kaum Ibu UMNO ini juga telah meninggalkan zuriat yang amat bermakna dalam peristiwa sejarah penulisan tanah air iaitu Adibah Amin.

Mungkin tidak ramai yang menyedari bahawa Ibu Zain adalah ibu kepada penulis yang popular melalui penulisan novel dan dunia kewartawanan yang berumur lebih 70 tahun itu.

Muzikal Ibu Zain akan dilakonkan antaranya oleh Nasha Aziz, Datuk Rahim Razali, Liza Othman, Juhara Ayob, Mazlan Tahir, Mazin Ameer Siraj, Hamzah Mohd. Tahir dan ramai lagi.

Sementara itu, naskhah Ibu Zain mengisahkan Allahyarham membesar sebagai seorang kanak-kanak perempuan yang cergas dan cerdas. Latarbelakang pendidikan agama yang diajarkan oleh bapanya dan ketegasan bapa menghantarnya bersekolah Inggeris telah membuka mata dan jiwanya menjadi pendidik bangsa .

Ia bukan sahaja melalui jawatan guru yang sangat disenanginya tetapi juga sebagai pengarang yang ditekuninya dan pejuang masyarakat yang membawanya menjadi pelupur pejuang wanita berjiwa pekasa.

Laluan hayat yang ditempuhinya adalah waktu-waktu penuh getir zaman penjajahan Inggeris, Jepun, Komunis, Darurat dan kebangkitan penentangan Malayan Union sehingga Tanah Melayu (Malaya) mendapat kemerdekaan.

Layar masa sebagai isteri kemudian menjadi ibu tunggal beranak tiga dan pada masa yang sama pemimpin kaum ibu sangat menguji kesabaran jiwa dan raga.

Ibu Zain terpaksa akur tidak melanjutkan pelajaran kerana masyarakat waktu itu menolak anak perempuan belajar tinggi. Tetapi dia mengubati kekecewaan dengan mendirikan sekolah untuk orang kampungnya belajar membaca dan menulis.

Beliau difitnah berkasih dengan Dr. Burhanuddin Helmi oleh ahli UMNO sendiri, sedangkan keakraban mereka kerana mewakili Negara ke Persidangan Perhubungan Asia di New Delhi. Namun Allahyarham tetap gigih berjuang.

Ibu Zain juga diberhentikan kerja kerana kelantangannya menentang Malayan Union dan dihina kerana hendak mendirikan rumah kecil dikawasan bangsawan.

Ibu Zain kebal dan cekal mengharungi segala cabaran. Suatu ketika walaupun masih sakit kerana tertembak beliau masih mampu berpidato untuk menyekat Datuk Onn daripada meninggalkan UMNO.

Apa yang yang ingin diperjuangkan Ibu Zain adalah melihat anak bangsanya bebas dan merdeka bukan sahaja daripada penjajah tetapi belenggu pemikiran yang menyekat kemajuan.

Keutamaan perjuangan yang mendasar adalah pendidikan akademik dan agama mestilah seimbang seperti katanya “Agama dididik moden dibela”.

Wanita bukan sahaja muslimah dan pekerja yang baik tetapi paling penting ibu yang sempurna yang dapat mendidik anak-anak menjadi warga Negara yang berguna.

Hasrat ini diterjemahkan disetiap detik perjuangannya dan diperkukuhkan dengan penubuhan Kolej Tengku Ampuan Mariam yang beroperasi di Istana Mastika Embun Johor Baharu kurniaan Tengku Mariam adinda Sultan Johor.

Mereka yang berminat untuk mengetahui tentang muzikal ini boleh melayari http://www.ibuzain.blogspot.com.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s