Hikmah menyusukan bayi

Oleh DIYANA ROSE KAMALLUDEEN

KEHAMILAN merupakan antara tempoh paling sensitif dan kritikal bagi golongan wanita terutama yang bakal melahirkan anak pertama.

Ketika ini wanita hamil dihantui pelbagai perasaan tidak yakin, bimbang dan ragu-ragu tentang keselamatan bayi dalam kandungannya.

Soalan-soalan seperti “Adakah tubuh saya terlalu kecil untuk menampung anak” atau “adakah tubuh saya mampu membekalkan nutrien mencukupi untuk bayi”, adalah antara yang mengusik naluri bakal ibu.

Ia menjadi masalah apabila persoalan tersebut mendorong mereka mencuba segala jenis makanan tambahan, susu formula, vitamin dan jamu di samping pelbagai ramuan tradisional sama ada ubat-ubatan herba mahupun jamu.

Ketua Perunding Unit Uroginekologi, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Seri Suniza Sufian berkata, lebih mengelirukan apabila mereka terpaksa mematuhi pula berbagai-bagai pantang larang setelah selamat melahirkan anak.

“Salah satu contoh, wanita selepas bersalin sepatutnya minum banyak air untuk menggantikan cecair yang hilang dalam badan.

“Tetapi sesetengah masyarakat Melayu percaya, selepas melahirkan anak wanita tidak boleh minum air kerana takut ‘kembang’ atau vagina tidak segar dan longgar,’’ katanya.

Dr. Seri Suniza menjelaskan juga bahawa pengambilan makanan tambahan, suplemen dan jamu tidak semestinya bagus untuk kesan jangka panjang bagi ibu mahupun bayi yang dikandungnya.

Menurutnya, ibu hamil hanya perlu tambahan 10 peratus daripada zat nutrien diperlukan manakala ibu yang mengamalkan diet normal (seimbang) pula tidak perlu mengambil suplemen atau makanan tambahan setiap hari.

Ini kerana, suplemen banyak mengandungi multi-vitamin yang boleh menambahkan lagi berat badan.

Yang penting, kata beliau lagi, adalah menambahkan zat besi atau ferum dalam diet seharian agar tubuh badan sentiasa segar dan sihat sepanjang kehamilan.

Salah satu cara untuk mengekalkan kesihatan tubuh dan mengembalikan bentuk badan asal selepas bersalin serta turut diamalkan oleh pelakon Hollywood terkenal, Catherine Zeta Jones, adalah menyusukan bayi.

“Mengikut kajian, ibu yang menyusu sekurang-kurangnya enam bulan pertama selepas kelahiran akan lebih langsing berbanding ibu-ibu yang tidak memberi susu badan kepada bayi mereka.

“Namun jika ibu menyusu itu masih kekal dengan berat badan sewaktu hamil adalah disebabkan mengambil suplemen berlebihan kerana ibu terlalu bimbang dan kurang yakin lalu makan lebih daripada sepatutnya,’’ ujarnya lagi.

Dr. Seri Suniza memberitahu, manfaat penyusuan di kalangan ibu tidak terbatas lebih-lebih lagi dalam membantu mengurangkan risiko pendarahan selepas bersalin yang merupakan penyebab kematian materniti utama di dunia.

Jelas beliau, ia mengurangkan risiko anemia yang disebabkan oleh kehilangan darah selepas tempoh dua jam pertama bersalin.

Di samping itu, proses penyusuan juga terbukti 98 hingga 99 peratus berkesan mencegah kehamilan pada tempoh enam bulan pertama selepas kehamilan jika ibu menyusukan bayi secara eksklusif sepanjang tempoh itu.

Ia juga dapat mengurangkan risiko kanser payu dara, ovari dan endometrial yang dipengaruhi ketidakstabilan hormon estrogen serta mengawal kolesterol.

Justeru, golongan ibu seharusnya tidak berhenti menyusu sewaktu awal usia bayi kerana banyak manfaatnya kepada kedua-dua mereka.

Bagi ibu bekerja pula, alasan sibuk kini tidak lagi relevan kerana terdapat banyak kemudahan dan kelonggaran khusus untuk mereka demi menggalakkan amalan menyusu.

Lebih-lebih lagi pemakanan yang diterima oleh bayi pada enam bulan pertama akan mempengaruhi kesihatannya sepanjang hayat. Ibu merupakan sumber khasiat bayi yang utama, oleh itu adalah penting untuk ibu meneruskan diet yang tinggi nutrien melalui pemakanan secara sihat.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s